Saturday, May 26, 2012

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Tema Hari Guru tahun ini yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun dan bertuah baru dua bulan kat sekolah ni aku dipilih antara 10 orang untuk mewakili sekolah hadir ke Stadium Tertutup di Gong Badak yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu.
Stadium Tertutup yang terletak di Komplek Sukan Gong Badak Kuala Terengganu


Bersama Sister in Law meraikan Hari Guru

                                 Guru adalah pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.
                                  Guru perlu  mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.
                                  Guru perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif seperti
1. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. 
2.Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. 
3.Guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. 
           Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
                   Sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
                      Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.                          
                      Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
                       Harapan agar guru  terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. 


Perutusan dari KPPM perlu diperhalusi oleh semua guru agar hasrat murni yang dinyatakan diatas akan tercapai.
                                   SELAMAT HARI GURU

No comments:

Post a Comment